SEJARAH MASJID AMANIAH KEPONG

SEJARAH RINGKAS MASJID AMANIAH
JALAN BESAR KEPONG, KUALA LUMPUR





Masjid Amaniah, Jalan Besar Kepong, Kuala Lumpur terletak di bawah Mukim Batu. Sebelum pembinaan Masjid Amaniah, penduduk kariah Kepong menunaikan solat Jumaat di Madrasah Al-Islah Addiniyyah Kepong Baru, Kuala Lumpur dan Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur. Mengikut sejarah pada tahun1950-an, asal Masjid Amaniah sekarang adalah berlatarbelakangkan Surau Balai Polis Kepong. Pada masa itu, Surau Balai Polis Kepong dikelilingi dengan rumah-rumah setinggan dan bersebelahan dengan klinik ibu mengandung. Surau tersebut termasuk di bawah pentadbiran Balai Polis Kepong yang mana majority jemaah pada masa itu ialah daripada kalangan kakitangan dan keluarga anggota polis.

Melihat kepada perkembangan pesat dan pertambahan penduduk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) merasakan perlu bagi anak-anak kariah Kepong mempunyai sebuah masjid sendiri bagi melaksanakan ibadah dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan terutamanya bagi mendirikan solat berjemaah dan solat Jumaat. Sehubungan itu, pada 4 April 2002, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur telah meluluskan sebidang tanah di atas Lot 57530, Pekan Kepong untuk pembinaan sebuah masjid baru bagi keperluan penduduk setempat dan sejumlah RM6.7 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membina masjid ini.

Pembinaan kompleks masjid ini bermula 5 Julai 2005 dan siap sepenuhnya pada 6 Mac 2007. Pada 12 April 2007, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) dengan kerjasama pihak jurutera Jabatan Kerja Raya telah mengadakan majlis penyerahan bangunan Masjid Amaniah kepada JAWI untuk ditadbirurus. Solat Zohor  dan Solat Hajat telah diadakan pada tarikh tersebut. Solat jemaah pertama yang dibuka kepada anak-anak kariah Kepong dan orang awam adalah pada 12 April 2007 dimulakan dengan Solat Maghrib dan disertakan dengan majlis bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat.

Khutbah dan Solat Jumaat pertama masjid ini telah diadakan pada 13 April 2007. Ia telah disampaikan oleh YBhg. Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Kariah JAWI dan teks khutbah khas telah disediakan oleh Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI. Masjid Amaniah diletakkan di bawah Pejabat Pentadbiran Pusat Zon 1, Cawangan Masjid dan Surau, Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI.

Kompleks Masjid Amaniah ini dibina setinggi tiga tingkat bagi menampung bilangan jemaah. Tingkat bawah masjid terdiri dari ruang solat utama, bilik Imam, bilik azan, bilik VVIP,ruang penyediaan, bilik pengurusan jenazah, bilik stor, bilik wuduk lelaki dan perempuan dan tandas termasuk untuk orang kurang upaya ( OKU ). Masjid Amaniah turut mempunyai Pejabat Pentadbiran Masjid yang mana menguruskan hal ehwal pengurusan, pembangunan dan pentadbiran masjid. Tingkat 1 terdiri dari ruang solat muslimat yang dilengkapi bilik wuduk. Tingkat 2 pula disediakan untuk kanak-kanak dan juga ditempatkan sebuah bilik mesyuarat. Kompleks Masjid Amaniah juga mempunyai skrin multimedia untuk khutbah Jumaat di ruang solat utama ( tingkat bawah ) serta di kanan dan kiri ruang di tingkat satu.


Antara kemudahan lain yang terdapat di Masjid Amaniah ialah kuarters untuk kakitangan masjid dan Taman permainan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment