Friday, January 9, 2015

Pray For Pantai Timur


SEMUA DIJEMPUT HADIR UNTUK SAMA-SAMA BERQIAMULLAIL MUNAJAT PASCA BANJIR. 

AHAD : 11 JANUARI 2015

JAM 3.00 PAGI

DI MASJID AMANIAH KEPONG, KL

BERSAMALAH KITA BERMUNAJAT KEPADA ALLAH SWT AGAR UJIAN INI MENAMBAHKAN LAGI KEIMANAN HIDAYAH BUAT KITA DAN DIBERI KEKUATAN IMAN DAN KETABAHAN BUAT MEREKA YANG MENERIMA UJIAN INI.

SESUNGGUHNYA KEPERITAN MEREKA ADALAH KEPERITAN KITA SEMUA SESAMA INSAN YANG SENTIASA BERADA DI BAWAH KASIH SAYANGNYA.

SEMOGA KITA TERDIRI DARIPADA ORANG-ORANG YANG DIBERI HIDAYAH DAN KASIH SAYANG DISEBALIK UJIAN INI.

SUBHANALLAH



BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apakah ungkapan simpati dan rasa empati yang kita tunjukkan itu mampu menghadirkan rasa yang sama dengan mereka yang menjadi mangsa kepada musibah banjir yang melanda? Sudah tentu tidak sama dengan apa yang dirasai oleh mereka yang menjadi mangsa kepada bencana tersebut.
Namun, atas dasar semangat persaudaraan dan semangat kemanusiaan maka pertolongan, sokongan serta dorongan harus diberikan sekurang-kurangnya membantu meringankan beban dihadapi.

Teladan daripada musibah

Cuba kita renungi, antara hikmah ALLAH SWT  menjadikan kenapa hanya segelintir kawasan dilanda banjir dan bukannya seluruh negara. Tersirat besarnya hikmah dalam situasi ini. Apabila keadaan itu berlaku, orang-orang yang berada di kawasan yang tidak dilanda banjir boleh turut membantu mereka yang dilanda musibah. Mungkin dengan cara itulah semangat kerjasama, semangat kemanusiaan, sikap rendah diri, sikap murah hati dan sebagainya diperkukuhkan.

Hal ini jelas tampak, bukan? Tanpa mengira agama, kita saling membantu.

Bencana alam sama ada banjir, gempa bumi dan lain-lain pada hakikatnya datang daripada ALLAH. Apabila kita berhadapan dengan musibah seperti ini, maka hendaklah kita mencari hikmah dan pengajaran yang tersembunyi di sebaliknya kerana mustahil ALLAH menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Mungkin sahaja, ALLAH menjadikan bencana alam itu sebagai satu peringatan dan teguran supaya kita tidak lalai daripada mengingati ALLAH, dan supaya kita sentiasa beringat bahawa kita datang daripada ALLAH, akan kembali kepada-Nya, dan kepada-Nya sahajalah tempat kita bergantung segala harapan.

Mengambil hikmah

Banjir yang melanda sebahagian negara kita terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung memang bakal meninggalkan duka yang mendalam.

Ada yang terpaksa menanggung korban saudara yang hilang dibawa arus deras, dan juga mereka yang kehilangan tempat tinggal. Namun, selalunya ada hikmah dan pelajaran berharga yang boleh kita ambil dari setiap peristiwa yang terjadi.
Boleh dikatakan, musibah banjir tahun ini bagi negeri Kelantan adalah yang terburuk setelah beberapa tahun ke belakang. Ternyata, musibah ini telah menelan banyak harta benda dalam kalangan saudara seislam.

Jumlah mangsa banjir juga meningkat dari hari ke hari. Kerugian keseluruhan, pastinya dalam ratusan ribu ringgit.

Oleh kerana itu, bagi sesiapa yang terkena musibah atau sekadar menyaksikan musibah banjir yang terjadi, haruslah merenung kembali tuntutan Islam dalam menghadapi musibah, sehingga musibah tersebut mampu diharungi dengan sabar dan syukur. Kita haruslah beriman bahawa setiap musibah yang berlaku adalah ketetapan ALLAH sehingga wajib menerima ketetapan itu dengan berlapang dada.
Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya, itu semua mudah bagi ALLAH." (Surah Al-Hadid: 22)

Sikap berlapang dada dan reda pada setiap ketentuan ALLAH akan memberi kekuatan ruhiyah yang besar dalam menghadapi musibah itu. Selain itu juga, ia mampu menguatkan keadaan psikologi yang akan meringankan kesan musibah itu dan sangat membantu dalam usaha menyelesaikannya.

Didasari atau tidak, sesungguhnya di sebalik musibah itu terkandung hikmah yang luar biasa. Seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya:

"Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah lalu mengatakan, "Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada-Nya lah kami kembali, (lalu berdoa) ya ALLAH, berilah pahala kepadaku dalam musibahku ini, dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya, kecuali ALLAH memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantikannya dengan yang lebih baik untuknya." (Riwayat Muslim)

Musibah yang melanda kita belum lagi sehebat ujian yang melanda rasul dan sahabat. Dengan demikian, setiap orang yang ditimpa musibah atau bencana, baik berupa banjir, tanah runtuh, atau musibah lainnya, maka hendaklah kita mengambil hikmah dan pelajaran berharga  di sebalik musibah itu.

Dengan keimanan serta reda dan sabar dengan segala ketetapan ALLAH, maka ia akan memiliki kekuatan mental yang luar biasa sehingga setelah perginya musibah yang menimpanya, semuanya berubah menjadi kebaikan.


Yakinlah, di sebalik setiap musibah yang melanda itu, ada selaut kasih sayang ALLAH kepada kita.

Thursday, January 8, 2015

ANUGERAH MASJID TERBAIK DI PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN BAGI TAHUN 1436H/2015M

TAHNIAH BUAT

MASJID AMANIAH KEPONG

KERANA TELAH DIPILIH UNTUK MENERIMA ANUGERAH

MASJID TERBAIK DI PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN

BAGI TAHUN 1436H/2015M

SEMPENA

Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1436H/2015M

yang akan diadakan pada pada 10hb Januari 2015 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) 

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara.'